Tuesday, November 8, 2011

'Solat Istiharah' sebagai satu saranan untuk mendapatkan petunjuk yg lebih baik

Testimonial 1.)- Kes Berkenaan Jodoh-

Pernah suatu ketika dahulu, seorang pengguna myJodoh berada di dalam dilema dalam membuat satu keputusan besar tentang masa depannya. Beliau pernah berkasih-kasihan dengan seorang jejaka (jejaka A) yang juga seorang pengguna laman web ini. Kasih mereka berdua tiba-tiba menghadapi situasi salah faham dan berakhir dengan kekecewaan.
Gambar Hiasan

Si gadis lalu membawa diri dan mencari kasih baru. Beliau bertemu dengan seorang jejaka baru di myJodoh (jejaka B) lalu berkenalan, bercinta, bertunang dan merancang saat perkahwinan.

Ketika itulah baru si gadis mula sedar segala konflik yang berlaku di antara jejaka A dan dirinya hanyalah berpunca daripada salah faham. Masing-masing mempunyai salah. Masing-masing memohon maaf. Namun bagi si gadis, beliau tidak lagi boleh berbuat apa-apa kerana dirinya telah menjadi tunangan orang.

Di dalam hatinya terdetik niat untuk memutuskan pertunangan dengan jejaka B, tetapi apakah salah jejaka B. Jejaka B baik dan telah menunjukkan kesungguhan. Semuanya ibarat kisah cinta di dalam novel-novel yang sering menjadi santapan minda di waktu kesunyian. Tidak beliau sangka situasi rekaan itu menjadi kenyataan di dalam dirinya. Cintanya sebenar pada jejaka A.

Apabila ditanya ibu bapa, mereka menyarankan agar meneruskan sahaja dengan jejaka B. Apabila ditanya diri sendiri, beliau ingin memutuskan sahaja. Hati beliau kini telah beralih semula kepada jejaka A. Jika tidak kerana agama dan adat, sudah tentu beliau melakukan apa sahaja yang terlintas di hati.

Apabila beliau meminta nasihat saya, saya juga menjadi buntu, tetapi saya mencadangkan beliau untuk berikstikharah di tengah malam sunyi.

Pada pagi hari itu, beliau ternanti-nanti petunjuk tuhan, menanti sesuatu untuk berlaku, menanti bisikan suara hati.

“Tak ada apa pun,” kata beliau kepada saya.

“Sabarlah dan buat lagi malam nanti.” Saya menyuruhnya mengulangi istikharahnya.

Di pagi kedua, beliau masih ternanti-nanti. Penantian membawa ke tengahari. Di tengahari beliau masih kebingungan. Kebingungan yang membawa hingga ke petang.

Inisiatif dan kesungguhan beliau memohon petunjuk Ilahi akhirnya mendatangkan ketenangan buat dirinya sendiri. Semua saat-saat memaksa diri untuk melawan kantuk itu berbaloi.

Hanya pada petang itu, barulah kebuntuannya hilang. Beliau mendapat pengakuan daripada jejaka B sendiri, sebenarnya jejaka B sudah berkeluarga.


Testimonial 2.) - Kes Berkenaan Kerjaya-

-------kenapa pulak kena stop?

dulu saya pernah solat istikharah utk satu kerja yang tersangat lah bagus. pada mulanya memang dah 100% confirm. surat resign pun dah bagi. tapi last minit kena reject atas sebab penjimatan kos. apa nak buat dah bukan rezeki. teringat pulak istikharah yang dibuat..... tengok tengok projek jalan 3 bulan jer pastu kena tangguh bukan main lama lagi.... nasib baik kena reject. kengkadang apa yang kita hendakkan tu tak dapat walaupun gerak hati tu dah kuat. hikmahnya lain kali baru tau.

Definisi Solat Istikhoroh

Kata istikhoroh dalam bahasa Arab yang maknanya adalah الاستخارة iaitu maksudnya mencari yang lebih baik. (Lihat: Lisanul Arab 4/259 cet. Dar Ihya at-Turots Th. 1419H, dan al-Mu’jam al-Wasith 1/261)

Manakala yang dimaksudkan sebagai Solat Istikhoroh menurut istilah syar’i adalah solat yang dilakukan untuk memilih yang lebih baik (yang terbaik) dari beberapa perkara yang hendak dilakukan atau ditinggalkan. (Asal perkataan ini oleh Muhammad Syamsul Haq al-Adhim al-Abadi dalam Aunul Ma’bud 4/277, dan diringkaskan dari Nailul Author 2/297, al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab 3/377, Tuhfatul Ahwadzi 2/482, dan Syarh Riyadhus Sholihin oleh Ibnu Utsaimin 2/215)

Hukum Solat Istikhoroh

Para ulama bersepakat bahawa solat Istikhoroh hukumnya sunnah dan tidak wajib. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam an-Nawawi, Imam as-Syaukani, al-‘Iraqi dan selainnya. Perkataan bahawa solat Istikhoroh tidak wajib telah dinyatakan sendiri oleh Rasulullah dalam hadis-hadis yang sahih, dan oleh kerananya para ulama menjelaskan bahawa hukum solat Istikhoroh adalah sunnah/tidak wajib. untuk maklumat lanjut layari laman weh ini


Doanya:

اللَّهُمَّ إنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ , وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ , وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلا أَقْدِرُ , وَتَعْلَمُ وَلا أَعْلَمُ , وَأَنْتَ عَلامُ الْغُيُوبِ , اللَّهُمَّ إنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ (هنا تسمي حاجتك) خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي, فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ , اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ (هنا تسمي حاجتك ) شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي, فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ ارْضِنِي بِهِ
(Rujukan: http://saaid.net/bahoth/41.htm)

Transliterasi Doa:

Allaahumma inni astakheeruka bi 'ilmika wa astaqdiruka bi qudratika wa as'aluka min fadlikal ‘adziim, fa innaka taqdiru wa laa aqdir, wa ta'lamu wa laa a'lam, wa anta 'allaamulghuyoob. Allaahumma in kunta ta'lamu anna haadzal-amra [dinyatakan apa yang diminta] khayrulli fi diinii - wa ma’aashii wa ‘aaqibati amri - (atau: 'aajil amri wa aajilihi) faqdurhu li wa yassirhu li tsumma baarik lii fiihi. Allaahumma wa in kunta ta'lamu anna haadzal amro [dinyatakan apa yang diminta] sharrullii fi diini - wa ma'aashi wa 'aaqibati amri - (atau: 'aajili amri wa aajilihi) - fasrifhu 'anni washrifnii ‘anhu - waqdur lilkhayr haytsu kaana tsummaradinii bihi

Terjemahan (Doa):

“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pilihan kepada-Mu dengan pengetahuan-Mu, aku memohon keputusan-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon kepada-Mu dengan keutamaa-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau berkuasa dan aku tidak berkuasa, Engkau Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib. Ya Allah! Apabila Engkau mengetahui bahawa urusan ini [dinyatakan hajatnya] baik bagiku dalam agamaku, kehidupanku dan akhir urusanku (bagi masa terdekat dan jangkamasa panjang), maka takdirkanlah dan mudahkanlah bagiku, kemudian berkatilah aku di dalamnya. Apabila Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agamaku, kehidupanku dan akhir urusanku, (bagi masa terdekat dan jangkamasa panjang), maka jauhkanlah ia dariku atau jauhkanlah aku darinya, dan takdirkanlah kebaikan bagiku di mana jua, kemudian jadikanlah aku redha dengannya.” (Hadis Riwayat Bukhari,1166)

Bilakah Disunnahkan/Dituntut Melakukan Solat Istikhoroh

Disyari’atkan/Disunnahkan/Dituntut melakukan solat Istikhoroh apabila seseorang berkehendak melakukan atau meninggalkan sesuatu perkara sama ada perkara besar atau kecil, dan dia mendapati keraguan, kesamaran atau ketidaktahuan akan akibat baik atau buruk baginya di masa yang akan datang, seperti pernikahan, safar (bepergian), hutang-piutang, jual-beli, sewa-menyewa, membuka perniagaan, atau seumpamanya.

Al-Mubarakfuri berkata (Dinukil secara ringkas dari Tuhfatul Ahwadzi oleh al-Mubarakfuri, 2/482): “Perkataan Jabir bin Abdullah: “Rasulullah memberitahu (mengajarkan) kepada kami solat Istikhoroh dalam segenap perkara...” menunjukkan bahawa solat Istikhoroh disyariatkan ketika menghadapi semua perkara, sama ada kecil atau besar, dan seseorang tidak boleh meremehkan sesuatu perkara, walaupun menurutnya ia remeh, sehingga meninggalkan syari’at solat Istikhoroh, dan melakukan perkara yang dianggap remeh padahal akibatnya sangat besar baginya sama ada keuntungan atau kerugian, atau manfaat dan madharatnya.”

Muhammad Syamsul Haq al-Adhim al-Abadi berkata (Dinukil secara ringkas dari Aunul Ma’bud 4/278): “Perkataan Nabi: “Apabila ada di antara kalian berkeinginan/bermaksud...,” menunjukkan bahawa solat Istikhoroh disyariatkan bagi sesiapa saja yang benar-benar bermaksud melakukan atau meninggalkan apa yang terlintas dibenaknya tetapi dia tidak mengetahui akibatnya. Dan ini bukanlah bererti setiap apa yang terlintas dibenaknya membawa kepada perlunya melaksanakan solat tersebut. Maka ini akan menjadikan setiap masa seseorang itu diwajibkan solat Istikhoroh sehingga waktunya habis hanya untuk solat Istikhoroh, akhimya ibadah yang lain ditinggalkan, dan kegiatan lain yang bermanfa’at pun terabai lantaran setiap orang selalu terlintas dibenaknya pelbagai masalah dalam setiap saatnya.”

Solat Istikhoroh hanya dilakukan apabila seseorang ragu atau tidak tahu akibat dan perkara yang akan dilakukan atau ditinggalkan, adapun perkara yang sudah diketahui akibat baiknya atau akibat buruknya, maka tidak disyari’atkan untuk solat Istikhoroh, lantaran maksud dari istikhoroh adalah mencari yang lebih baik dari suatu perkara. (Lihat Syarh Riyadhus Sholihin oleh Ibnu Utsaimin 2/511-512)

As-Sayyid Sabiq berkata: “Istikhoroh hanya disyariatkan pada masalah yang pada asal hukumnya mubah (harus), adapun perkara yang wajib atau sunnah, maka sudah diketahui bahawa perkara itu berakibat baik, diperintahkan untuk dilaksanakan dan berpahala. Demikian juga perkara yang haram dan makruh, maka perkara tersebut sudah diketahui bahawa akibatnya buruk dan diperintahkan untuk meninggalkannya, serta diancam dengan azab Allah. Dari sini kita mengetahui bahawa tidak disyari’atkan solat Istikhoroh dalam perkara wajib, sunnah, haram dan makruh, kerana semua itu telah jelas akibat baik dan buruknya”. (Dinukil secara bebas dari Fiqh as-Sunnah 1/199, demikian juga dikatakan oleh Salim bin ‘Ied al-Hilali dalam Bahjah an-Nadhirin Syarh Riyadh as-Sholihin, 2/43)

Solat Istikhoroh boleh dilakukan untuk perkara wajib atau sunnah, tetapi bukan dilakukan untuk mencari akibat baik atau buruk dan perkara yang wajib atau sunnah tersebut (lantaran akibat dan perbuatan wajib dan sunnah sudah jelas baik, dan berpahala), tetapi ia dilakukan seperti untuk menentukan waktu terbaik pelaksanaan perkara wajib tersebut, atau ingin mendahulukan yang terbaik dari beberapa perkara sunnah yang hendak ia lakukan, atau mungkin juga hendak memilih di antara dua perkara yang baik yang lebih sesuai dan tepat untuknya.

p/s: Selamat Mencuba :)